Isnin, 13 Februari 2023 | 4:36pm

Tiga lelaki ditahan ceroboh gudang bersenjatakan pedang samurai

SHAH ALAM: Polis menahan tiga lelaki warga tempatan atas cubaan menceroboh sebuah gudang simpanan barangan keperluan harian menggunakan pedang samurai, playar dan pemotong besi di Jalan Gangsa, Kawasan Perusahaan, Telok Panglima Garang, pada 3 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @Saleh, berkata pihaknya menerima panggilan MERS 999 pada jam 3.45 pagi daripada pengurus gudang, lelaki rakyat tempatan berumur 33 tahun sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, setiba di lokasi pada jam 4 pagi, pihaknya menahan kesemua suspek di sekitar kawasan Telok Panglima Garang dan merampas seunit pemotong besi, sebilah pedang samurai bersarung, sebilah pedang samurai tanpa sarung serta seunit playar.

"Hasil semakan mendapati ketiga-tiga suspek yang berusia 28 tahun hingga 33 tahun mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik selain positif dadah jenis Methamphetamine hasil ujian air kencing.

"Mereka dipercayai aktif dalam melakukan jenayah itu sejak dua bulan lalu dan penahanan mereka telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes pecah rumah sekitar Telok Panglima Garang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, kesemua suspek direman empat hari dan ditahan di Lokap Balai Polis Banting Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ceroboh.

Dalam kes berasingan, beliau turut melaporkan pihaknya menahan lima lelaki warga tempatan yang disyaki memecah masuk sebuah premis perniagaan di Kampung Medan, Telok Panglima Garang pada 10 Februari lalu.

Katanya bertindak atas maklumat, pihaknya menahan dua suspek di sekitar Sungai Kapar, Klang, jam 5 petang semalam dan hasil sosial siasat terhadap kedua-dua suspek, pasukannya menangkap tiga lagi rakan suspek di kawasan Telok Panglima Garang, kira-kira sejam setengah kemudian.

Ahmad Ridhwan berkata, pihaknya turut merampas barangan perkakasan seperti mesin gerudi tanpa wayar, pemotong jubin, tukul putar tanpa wayar termasuk lima telefon pintar dan seunit gari jenama Chicago.

"Hasil semakan dapati kelima-lima suspek yang ditahan berusia 27 tahun hingga 37 tahun, dua daripadanya adalah pekerja bengkel dan tiga lagi pembaiki pendingin hawa dengan kesemua mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik.

"Kesemua suspek direman empat hari dan ditahan di Lokap Balai Polis Banting IPD Kuala Langat dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pecah rumah," katanya.– BERNAMA

Berita Harian X