Ahad, 12 Februari 2023 | 1:24pm
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md ISA. - NSTP/ARKIB
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md ISA. - NSTP/ARKIB

Buang rokok RM400,000 atas jalan tepi pantai

KUALA TERENGGANU: Polis merampas 3,400 karton rokok seludup pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM400,000, dijumpai di atas jalan di laluan pantai berhampiran sebuah sekolah di Batu Rakit, Kuala Nerus, di sini kelmarin.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, berkata rokok terbabit ditemukan anggota Cawangan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu yang menjalankan 'Op Kontraban' di laluan kawasan pantai Batu Rakit, kira-kira jam 2 pagi.

Beliau berkata, pasukan rondaan menemui longgokan kotak besar yang ditinggalkan di tepi jalan di kawasan berkenaan dan kemudian membuat pemerhatian dari jarak 50 meter.

"Namun selepas lebih dua jam, tiada sesiapa menghampiri kotak berkenaan dan anggota rondaan kemudian melakukan pemeriksaan terhadap longgokan kotak terbabit," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati ada 68 kotak besar dengan setiap satu mengandungi 50 kartun rokok putih dengan dianggar bernilai RM400,000 yang dipercayai diseludup masuk untuk pasaran negeri ini.

"Kita percaya sindiket penyeludupan rokok terbabit menggunakan khidmat tonto bagi memerhati pergerakan polis di kawasan berkenaan," katanya.

Rohaimi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967, iaitu kesalahan memiliki rokok seludup yang memperuntukkan hukuman denda maksimum 10 kali ganda nilai atau RM100,000.

Berita Harian X