Jumaat, 10 Februari 2023 | 3:42pm
SPRM menahan reman seorang suspek lelaki yang juga perunding bebas kerana disyaki menerima upah aktiviti ubah wang haram.
SPRM menahan reman seorang suspek lelaki yang juga perunding bebas kerana disyaki menerima upah aktiviti ubah wang haram.

Perunding bebas terima upah RM700,000 ubah wang haram ditahan SPRM

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang perunding bebas kerana disyaki menerima upah daripada seorang wanita bergelar Datuk Seri bagi melakukan kerja-kerja membabitkan kegiatan pengubahan wang haram.

Suspek berusia 70-an itu, dipercayai menerima habuan dianggarkan lebih RM700,000 sepanjang 2016 hingga 2017 sebagai balasan melakukan aktiviti pengubahan wang haram dengan membawa wang tunai yang disyaki hasil penipuan pelaburan.

Suspek disyaki bersubahat dengan Datuk Seri terbabit berhubung kegagalan mengisytiharkan sumber wang pelaburan itu bagi tujuan menipu syarikat milik individu berprofil tinggi.

Susulan tangkapan itu, suspek direman selama lima hari bermula hari ini sehingga 14 Februari, selepas Majistret, Irza Zulaikha Rohanuddin, membenarkan permohonan reman dikemukakan SPRM hari ini.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, mengesahkan penahanan suspek pada jam 4 petang semalam ketika dia hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Berita Harian X