Isnin, 6 Februari 2023 | 3:37pm

'Hubungan yang kami bina sejak sekolah menengah berakhir di sini'

TUMPAT: "Patutlah suami tak sampai-sampai di rumah walau sudah lebih sejam dia beritahu sedang dalam perjalanan, rupanya dia kemalangan," kata Goh Jia Ying, balu kepada pegawai kanan polis yang maut kereta terbabas malam tadi.

Jia Ying, 29, berkata suaminya Inspektor Chong Yeong Ren, 29, keluar dari rumah jam 7 malam tadi untuk makan malam bersama rakannya di Kota Bharu.

"Pada jam 11 malam suami ada menghantar WhatsApp memberitahu baru bertolak pulang tapi hingga jam 12.15 tengah malam dia masih belum sampai menyebabkan saya rasa pelik.

"Selesai menidurkan bayi kami, pintu rumah diketuk dan sebaik membukanya, kelihatan seorang anggota polis yang saya kenali memberitahu suami terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia.

"Masa itu, saya memang tergamam dan tidak tahu untuk memberi respon yang bagaimana kerana terlalu terkejut," katanya ditemui di perumahan polis di Kampung Terbak, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azman Ayob mengunjungi isteri inspektor yang maut dalam nahas di perumahan polis Kampung Terbak, Tumpat hari ini. - Foto NSTP/Siti Rohana Idris
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azman Ayob mengunjungi isteri inspektor yang maut dalam nahas di perumahan polis Kampung Terbak, Tumpat hari ini. - Foto NSTP/Siti Rohana Idris

Jia Ying berkata, mereka mendirikan rumah tangga tiga tahun lalu dan baru dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang dinamakan Chong Ee Sze yang kini berusia tiga bulan.

Suaminya begitu teruja bergelar bapa dan sejak dia serta bayi mereka kembali ke perumahan itu selepas berpantang di Klang, Selangor, segala urusan mereka dilakukan mendiang.

"Memandangkan rumah dan tempat kerja suami dekat, dia kerap pulang pada tengah hari untuk membantu saya menjaga bayi kami malah sangat sayangkan bayi kerana sudah lama menunggu cahaya mata.

"Tidak sangka hubungan yang kami bina sejak di bangku sekolah menengah lagi berakhir sampai di sini sahaja dan saya akan menjaga anak kami sebaik mungkin," katanya sambil memberitahu akan pulang ke kampung halaman mereka di Klang, Selangor pagi esok.

Tangkap layar kejadian seorang pegawai polis maut nahas kereta terbabas, rempuh tiang lampu malam tadi.
Tangkap layar kejadian seorang pegawai polis maut nahas kereta terbabas, rempuh tiang lampu malam tadi.

Terdahulu dia menerima kunjungan Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azman Ayob yang bertanya khabar sambil menyerahkan sumbangan.

Azman berkata, mayat mendiang selesai dibedah siasat di Hospital Tumpat dan dijangka dibawa pulang ke Selangor petang ini.

Dalam kejadian jam 11.20 malam tadi di Kampung Bendang Morak, kereta jenis Proton Saga yang dipandu mangsa terbabas dan merempuh dua batang tiang lampu. Mangsa meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Balu Inspektor Chong Yeong Ren, Goh Jia Ying, 29, menerima kunjungan Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azman Ayob di perumahan polis Kampung Terbak, Tumpat serta menyerahkan sumbangan. - Foto NSTP/Siti Rohana Idris

Berita Harian X