Sabtu, 4 Februari 2023 | 11:48am
Foto ihsan keluarga mangsa dan APM Mersing
Foto ihsan keluarga mangsa dan APM Mersing

Pelajar IPTS hilang ketika daki bukit

MERSING: Seorang pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), dilaporkan hilang selepas dipercayai mendaki bukit sendirian di Pulau Mawar, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani, berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan motosikal milik mangsa, Muhamad Akmal Hakimi Ishak, 19, di kawasan berhampiran pulau itu dalam keadaan baik dan tidak berkunci, semalam.

Katanya, laporan polis mengenai kehilangan pelajar lelaki itu telah dibuat bapa mangsa di Balai Polis Kluang, awal pagi semalam.

Susulan itu, beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilancarkan pada jam 5 petang membabitkan 22 pegawai serta anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mersing.

"Peringkat awal operasi membabitkan pencarian di dalam kawasan hutan serta persisiran pantai. Namun, operasi dihentikan pada jam 7 petang semalam atas faktor keselamatan berikutan cuaca gelap dan hujan.

"Operasi disambung semula pada 8 pagi tadi," katanya sambil memaklumkan mangsa kali terakhir dilihat berpakaian seluar 'slack' dan kemeja-T.

Sementara itu, pegawai APM Mersing, Leftenan Muda (PA) Muhamad Syafiq Mohamad Sabri, berkata seorang saksi awam mengaku ada bersembang dengan mangsa pada Rabu lalu.

"Saksi memberitahu pihak APM bahawa mangsa dikatakan ingin masuk ke Pulau Mawar tanpa arah tuju. Mangsa kemudian didakwa beredar dengan meninggalkan sebuah motosikal di tempat kejadian," katanya.

Sambil memaklumkan APM berpendapat mangsa berkemungkinan hilang atau sesat di pulau itu, beliau berkata, pasukan SAR meliputi polis, bomba, APM, Majlis Daerah Mersing serta malim gunung terbabit dalam operasi hari ini

"Mangsa masih belum ditemukan, setakat jam 10.20 pagi tadi," katanya.

Berita Harian X