KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, supaya pasport antarabangsanya dikembali secara kekal, bagi membolehkan beliau menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan lancar.
Bagaimanapun, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, membenarkan pasport itu untuk diserahkan sementara bagi membolehkan Ahmad Zahid membuat pasport diplomatik untuk urusan rasmi.
Hakim membuat keputusan itu selepas menekankan Perlembagaan Persekutuan menetapkan semua individu sama di sisi undang-undang dan tiada sesiapa atau golongan masyarakat yang boleh diberi keistimewaan serta melangkaui undang-undang.
"Jaminan diberikan kepada Ahmad Zahid dengan syarat pasport diserahkan mengikut Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan.
"Namun, mahkamah mengambil kira tertuduh (Ahmad Zahid) kini Timbalan Perdana Menteri dan mempunyai tugasan rasmi tetapi tidak boleh pada hari sama dalam prosiding mahkamah yang perlu dihadirinya.
"Mahkamah ada fungsi untuk dilaksanakan dan benarkan tertuduh untuk mendapatkan kembali sementara dokumen (pasport antarabangsa) untuk membuat pasport diplomatik.
"Saya setuju dengan pendakwaan bahawa Ahmad Zahid perlu kembalikannya kepada mahkamah selepas selesai buat pasport diplomatik," katanya.
Terdahulu, peguam bela Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, berkata alasan permohonan itu seperti dalam afidavit sokongan difailkan anak guam pada 20 Januari lalu dan pendakwaan tidak membantah perkara itu.
Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob, mengesahkan tidak membantah permohonan berkenaan.
"Bagaimanapun, saya ingin tekankan bahawa selepas pasport diplomatik dibuat, pasport peribadi Ahmad Zahid perlu dipulangkan kembali kepada mahkamah," katanya.
Pada 20 Januari lalu, Ahmad Zahid membuat permohonan itu dengan niat baik yang hanya bertujuan memohon kebenaran bagi pelepasan pasport antarabangsa supaya dapat menjalankan tugas rasmi.
Pasport itu sebelum ini diserahkan dan berada dalam simpanan mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan, selepas beliau didakwa dengan 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang kini dalam peringkat bela diri.
Dalam afidavit sokongan menerusi permohonannya untuk mengetepi syarat jaminan jaminan tambahan, Ahmad Zahid berkata, beliau mempunyai beberapa kekangan untuk menjalankan tugas seperti menteri lain kerana tidak mempunyai akses kepada dokumen itu.
Menurut Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, beliau menerima mandat dan tanggungjawab utama daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mewakilkannya dalam beberapa urusan pentadbiran negara.
Bagi melancarkan pergerakan dan urusan dalam menjalankan tugasan rasmi selaku Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid berkata, beliau dikehendaki untuk berada di dalam dan luar negara yang memerlukan pasport itu berada dalam pegangan sendiri.
Ahmad Zahid berkata, beliau memerlukan dokumen itu kerana ia salah satu syarat dalam proses permohonan bagi mendapatkan pasport diplomatik yang diperlukan dan akan digunakan bagi pergerakan rasmi keluar-masuk negara.