Rabu, 1 Februari 2023 | 4:03pm

Kes bunuh di Tawau: Reman 8 polis dilanjut seminggu

TAWAU: Tempoh tahanan reman lapan pegawai dan anggota polis yang dikaitkan dengan kes bunuh pemandu e-Hailing pada 13 Januari lalu, dilanjutkan tujuh hari lagi sehingga 8 Februari ini.

Perintah lanjutan reman itu dikeluarkan Majistret Dzul Elmy Mohd Yunus, selepas membenarkan permohonan reman oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Tempoh tahanan reman yang berakhir hari ini, dilanjutkan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut, selain merakam keterangan daripada saksi dan orang disyaki.

Sebelum ini, media melaporkan lapan anggota polis iaitu empat pegawai kanan dan empat pegawai rendah polis ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes membabitkan Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu.

Pada 30 Januari lalu, seorang wanita yang juga dipercayai bekas isteri pemandu e-Hailing terbabit dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan membunuh.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Mac depan.

Terdahulu, cubaan media yang berkumpul di perkarangan mahkamah di sini, seawal jam 8.30 untuk membuat liputan gagal apabila semua suspek yang dijadualkan hadir, tidak muncul.

Bagaimanapun, kenderaan membawa majistret dilihat meninggalkan perkarangan mahkamah pada waktu rehat sebelum tiba di IPD Tawau pada jam 12.44 tengah hari dan beredar kira-kira jam 2.04 petang.

Pada 16 Januari lalu, mayat seorang lelaki ditemui dalam kawasan semak berhampiran sebuah ladang kelapa sawit di Batu 5 Jalan Apas, dekat sini, dipercayai mangsa bunuh.

Turut ditemui bersebelahan mayat mangsa, kereta Perodua Myvi putih dengan pelekat perkhidmatan e-Hailing.

Sebahagian wartawan dan jurugambar yang hadir di mahkamah untuk liputan kes lapan anggota polis disyaki terbabit kes bunuh, hari ini. NSTP/Abdul Rahemang Taiming.
Sebahagian wartawan dan jurugambar yang hadir di mahkamah untuk liputan kes lapan anggota polis disyaki terbabit kes bunuh, hari ini. NSTP/Abdul Rahemang Taiming.
Berita Harian X