PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan buruh warga Bangladesh kerana disyaki cuba memberi rasuah RM100 kepada anggota polis sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang memandu kereta tanpa lesen.
Perintah tahanan reman tiga hari dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret di sini, bermula hari ini hingga Selasa selepas menerima permohonan SPRM.
Terdahulu, lelaki warga asing berusia 30-an itu ditahan polis ketika sedang memandu, sebelum menawarkan rasuah bagi mengelak dikenakan tindakan.
Dia kemudiannya ditahan dan dibawa ke pejabat SPRM di sini, jam 2 petang semalam untuk siasatan lanjut.
Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.
Katanya, kes seumpama itu menjadi iktibar kepada masyarakat supaya tidak sewenang-wenangnya memberi rasuah kepada mana-mana anggota penguat kuasa bagi tujuan melepaskan diri selepas melakukan kesalahan.