JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan minuman keras membabitkan rampasan arak bernilai lebih RM1.8 juta termasuk cukai, dalam dua serbuan berasingan pada November tahun lalu dan awal bulan ini.
Pengarah Kastam Johor, Misbahudin Parmin, berkata hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket berkenaan membabitkan penggunaan kotak minuman jus epal bagi membawa masuk minuman keras serta menjadikan rumah sebagai stor penyimpanan.
Dalam serbuan pertama pada 30 November lalu, katanya, beberapa karton minuman keras dirampas selepas tiga kontena kira-kira enam meter ditahan di laluan pemeriksaan dekat Pelabuhan Johor, Pasir Gudang, di sini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati lima baris awal barang dalam setiap kontena itu adalah dagangan sebagaimana diikrar, iaitu jus epal berkarbonat, namun selebihnya merupakan minuman keras disyaki tidak berkastam dan disorok dalam kotak jus epal terbabit.
"Dokumen pengikraran muatan dagangan kapal mendapati dagangan diikrar sebagai minuman jus epal berkarbonat. Bagaimanapun, sebahagian muatan didapati tidak sama dengan dagangan yang diikrarkan.
"Ini adalah modus operandi sindiket penyeludupan dengan membuat pengikraran palsu dan perakuan tidak benar dalam bil muatan kapal ketika pengimportan dibuat.
"Ia bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa dipercayai bagi mengelak dikenakan duti import, cukai jualan dan duti eksais," katanya pada sidang media di Menara Kastam, Larkin, di sini, hari ini.
Beliau berkata, rampasan minuman keras dipercayai diimport dari China itu dianggarkan bernilai RM234,000 dengan anggaran jumlah duti dan cukai terbabit ialah lebih RM1.49 juta.
Katanya, tiga kontena terbabit yang dianggarkan bernilai RM15,000 turut disita, dan kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(a) akta sama.
Seterusnya, Misbahudin berkata, serbuan kedua pula dilakukan ke atas sebuah rumah teres dua tingkat di Desa Cemerlang, Ulu Tiram, di sini, 1 Januari lalu.
Dalam serbuan berkenaan, beliau berkata, seorang lelaki warga Bangladesh berusia 34 tahun ditahan dan sindiket penyeludupan disyaki menjadikan kediaman dipercayai disewa itu sebagai tempat penyimpanan minuman keras.
"Kita menemui sejumlah minuman keras pelbagai jenama tempatan dan luar negara, yang disyaki barang tidak berkastam dan disimpan di dalam sebuah bilik rumah dipercayai untuk diedarkan ke pasaran tempatan.
"Anggaran keseluruhan nilai barang kes dirampas dalam serbuan itu ialah RM21,400, manakala anggaran duti dan cukai terbabit berjumlah RM82,000," katanya
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(c) Akta Eksais 1976.