Rabu, 18 Januari 2023 | 3:05pm

Kastam Pulau Pinang rampas dapur masak, skuter elektrik

BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas 510 unit dapur masak elektrik dari sebuah negara Asia Timur dianggarkan bernilai RM358,500 ketika mengadakan pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini, Selasa minggu lalu.

Pemeriksaan kira-kira jam 11 pagi itu dijalankan sepasukan anggota kastam dari Bahagian Penguatkuasaan Pulau Pinang.

Pengarah JKDM negeri, Hamisan Kalip, berkata kontena itu kemudian diiringi ke Stor Penguatkuasan Kastam, Bagan Jermal, di sini untuk pemeriksaan lanjut

"Hasil pemeriksaan rapi menemui 510 unit dapur masak elektrik yang disyaki tidak berkastam bernilai RM358,500 dengan duti dan cukai berjumlah RM114,720.

"Siasatan awal mendapati kontena terbabit telah diimport oleh sebuah syarikat tempatan yang berpangkalan di Pasir Mas, Kelantan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, seorang wanita berusia 34 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan sebelum dia dilepaskan dengan jaminan.

Dalam perkembangan lain, Hamisan berkata, pihaknya turut merampas 129 unit skuter elektrik disyaki tidak berkastam bernilai RM283,800 dengan duti dan cukai berjumlah RM85,140 dalam serbuan jam 4.30 petang, pada 16 Disember tahun lalu.

"Rampasan itu dibuat selepas mendapati skuter itu diikrar sebagai kenderaan pemasangan tempatan (CKD) sedangkan yang dagangan yang dibawa masuk adalah sebagai jenis import sepenuhnya (CBU).

"Seorang suspek lelaki berusia 54 tahun turut ditahan dalam serbuan itu," katanya

Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Hamisan (duduk dua kiri) menunjukkan skuter elektrik dan dapur masak yang dirampas sidang media, hari ini. - Foto NSTP/Danial Saad
Hamisan (duduk dua kiri) menunjukkan skuter elektrik dan dapur masak yang dirampas sidang media, hari ini. - Foto NSTP/Danial Saad
Berita Harian X