Kuala Terengganu: Seorang bekas pengetua mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan merogol, melakukan amang seksual fizikal dan berkomunikasi secara seksual.
Tertuduh, Rosli Abd Rahman, 58, membuat pengakuan itu selepas 13 pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa berkomunikasi secara seksual dengan mangsa yang ketika kejadian berusia 16 tahun lapan bulan.
Tertuduh turut berdepan pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar daerah ini dan Marang antara November 2020 hingga November 2021.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan lima pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2) (f) Kanun Keseksaan dan empat pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTKK) 2017.
Dia turut didakwa mengikut dua pertuduhan mengikut Seksyen 11 (a), satu pertuduhan mengikut Seksyen 14 (c) dan satu pertuduhan Seksyen 14 (d) AKSTKK 2017.
Bagi semua pertuduhan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara antara tiga tahun hingga 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 20 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad.