Isnin, 16 Januari 2023 | 6:37pm
Warga emas, Abdul Mutalib Hussin, yang ditemui meninggal dunia dipercayai terjatuh daripada pokok kelapa setinggi 20 meter di Kampung Jal Kechik, di sini. - Foto Ihsan Pembaca
Warga emas, Abdul Mutalib Hussin, yang ditemui meninggal dunia dipercayai terjatuh daripada pokok kelapa setinggi 20 meter di Kampung Jal Kechik, di sini. - Foto Ihsan Pembaca

Warga emas maut jatuh pokok kelapa

TUMPAT: Lelaki warga emas meninggal dunia dipercayai terjatuh daripada pokok kelapa setinggi 20 meter di Kampung Jal Kechik, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, mangsa, Abdul Mutalib Hussin, 69, ditemui terbaring atas tanah oleh pemilik kebun kelapa.

Ahli keluarga mangsa, Sabri Ya, 56, berkata, dia dihubungi pemilik kebun kelapa itu yang memaklumkan kejadian yang menimpa Abdul Mutalib.

"Saya bergegas ke kebun kelapa itu dan mendapati dia (mangsa) masih terbaring tidak sedarkan diri dan saya percaya dia terjatuh ketika sedang memetik kelapa.

"Dia tidak berkeluarga dan bekerja sebagai pemetik kelapa sejak beberapa tahun lalu di sekitar kampung ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sabri berkata, mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jal Kechik di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, hasil siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

"Mangsa disahkan meninggalkan dunia oleh Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Wakaf Bharu dan hasil proses bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan pada paru-paru dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut," katanya.

Berita Harian X