BERA: Remaja lelaki berusia 19 tahun ditemui lemas di Sungai Pahang dekat Kampung Batu Bor, di sini hari ini.
Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, berkata, mayat mangsa Faizal Akmal Fikri Mohd Fauzi dijumpai terapung pada jarak 900 meter dari tempat kejadian di Pulau Kening.
"Mayat mangsa tersangkut pada pokok dikesan oleh anjing Unit K9 pada jam 10.44 pagi, dekat Pulau Kening.
"Mangsa dijumpai pada jarak 0.9 kilometer dari tempat dia dipercayai hilang," katanya hari ini.
Ismail berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja yang hilang Sabtu lalu bermula 8.30 pagi tadi dengan 13 anggota dari Unit K9, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang dan BBP Maran.
Sabtu lalu, Faizal Akmal Fikri yang berasal dari Kampung Bukit Lada Awah, Temerloh dipercayai lemas ketika mandi di sungai itu bersama lima rakan, pada kira-kira 4.00 petang.