Ahad, 15 Januari 2023 | 12:36pm

Pengasuh tak mengaku dera bayi hingga koma

KUALA TERENGGANU: Seorang pengasuh sebuah taman asuhan kanak-kanak (TASKA) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tujuh pertuduhan mendera seorang bayi lelaki berusia empat bulan sehingga koma.

Bagaimanapun, tertuduh, Raja Noor Iffa Nadia Raja Nordin, 27, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan selepas dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan pertama hingga tujuh, tertuduh didakwa menganiayai mangsa hingga menyebabkannya mengalami pendarahan dalam kepala dan retak di bahagian kiri tempurung kepala.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah taska di daerah ini antara 1 hingga 3 Januari lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 berdepan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 16 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Nooriah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah Hizamul-Din, manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Hayyi Salim.

Media sebelum ini melaporkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan koma selepas dipercayai didera pengasuh dalam kejadian di sebuah taska di daerah ini.

Bayi malang itu mengalami pendarahan dalam otak dan keretakan pada tempurung kepala.

Raja Noor Iffa Nadia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tujuh pertuduhan mendera bayi lelaki berusia empat bulan sehingga koma. NSTP/ GHAZALI KORI
Raja Noor Iffa Nadia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tujuh pertuduhan mendera bayi lelaki berusia empat bulan sehingga koma. NSTP/ GHAZALI KORI
Berita Harian X