Sabtu, 14 Januari 2023 | 10:55pm
Mangsa ditemui lemas di Pantai Kemayang, Bachok, hari ini. - Foto ihsan bomba
Mangsa ditemui lemas di Pantai Kemayang, Bachok, hari ini. - Foto ihsan bomba

Kanak-kanak ditemui lemas di Pantai Kemayang

BACHOK: Seorang kanak-kanak ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh dari benteng batu penghadang ombak di Pantai Kemayang, di sini, petang tadi.

Mangsa, Muhammad Hanif Nurhaqim Amran, 11, dikatakan terjatuh ke laut bersama abangnya, Muhammad Hanif Lokman, 12, dalam kejadian itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali, berkata abang mangsa bagaimanapun sempat diselamatkan orang awam.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 5.55 petang.

Susulan itu, katanya, sebuah jentera FRT, sebuah Toyota Hilux serta sebuah bot aluminium dengan kekuatan tujuh anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Zamizi Muhamad, dikerahkan ke lokasi.

"Mayat mangsa ditemui di kepala tembok penghadang ombak, kira-kira 200 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

"Abang mangsa pula berjaya diselamatkan orang awam," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Kanak-kanak berkenaan yang beralamat di Kampung Pauh Sembilan, Beris Kubor Besar, dikatakan ke pantai itu bersama ahli keluarganya.

Berita Harian X