Rabu, 11 Januari 2023 | 1:51pm

Video tular wanita salin pakaian di pusat beli-belah

KUALA LUMPUR: Satu rakaman video kamera tersembunyi memaparkan wanita mencuba pakaian dalam bilik persalinan di sebuah pusat beli-belah, tular di laman sosial.

Video berdurasi 11 saat itu dimuat naik melalui akaun Twitter, namun lokasi pusat beli-belah terbabit belum dapat dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian berkenaan, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya.

"Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menerima laporan kes berkenaan jam 4.38 petang Isnin lalu. Siasatan awal sedang dijalankan bagi mengenal pasti tarikh dan lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan menasihatkan orang ramai tidak melakukan perkara yang melanggar undang-undang.

Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Fikri Abdul Manan di talian 013-4149917 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran.

Berita Harian X