GEORGETOWN: Kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang disyaki didera ibu kandung di Bukit Gambir di sini, sudah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini, bagi pemeriksaan kesihatan.
Mangsa dibawa oleh pegawai bahagian perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Daerah Timur Laut, selepas dia diselamatkan, semalam.
Pengarah JKM Negeri, Zakaria Taib, berkata bagaimanapun pihaknya masih menunggu keputusan laporan daripada pegawai perubatan hospital berkenaan bagi tindakan lanjut.
Katanya, pada masa ini, kanak-kanak itu diberi perlindungan sementara oleh JKM manakala ibu kandung dan ibu saudara mangsa sudah tampil memberi keterangan di pejabat.
"Mangsa sudah dibawa ke hospital berkenaan kira-kira jam 1 petang tadi.
"Pada masa ini, pemeriksaan masih dijalankan dan kita menanti laporan bagi mengesahkan sama ada mangsa didera atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Zakaria berkata, sekiranya disahkan tiada unsur penderaan, JKM akan mengambil tindakan lanjut seperti berbincang dengan keluarga mangsa supaya kehidupan mereka lebih baik.
"Tetapi kita akan mengikut prosedur dan membuat laporan polis sekiranya disahkan pegawai perubatan terdapat unsur penderaan pada mangsa.
"Pada masa ini, siasatan masih dilakukan sama ada ibu kandung mangsa turut terbabit dengan kejadian itu.
"Ketika diselamatkan, ibu kanak-kanak itu tiada di rumah dan mangsa mengaku dipukul dengan topi keledar oleh abangnya ketika bergaduh selain terdapat kesan lebam pada dadanya.
Semalam, media melaporkan mengenai kanak-kanak malang itu yang diselamatkan JKM selepas menerima laporan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A Kumaresan.
Mangsa ditinggalkan seorang diri di rumah sementara ibunya keluar bekerja sebagai pengawal keselamatan manakala bapa kanak-kanak itu yang bekerja sebagai pemandu lori hanya pulang sekali-sekala.
Kanak-kanak itu juga kadangkala ditinggal bersama dua abangnya berusia 14 dan 12 tahun di rumah berkenaan.