Selasa, 10 Januari 2023 | 11:57am

Dera bayi sehingga koma, tiga pekerja taska ditahan

KUALA TERENGGANU: Tiga pekerja sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di sini ditahan selepas dipercayai terbabit mendera seorang bayi lelaki berusia empat bulan sehingga koma di taska berkenaan, Rabu lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, berkata tiga suspek terbabit wanita berusia antara 22 hingga 33 tahun ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di premis berkenaan petang semalam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa.

Katanya, tangkapan terhadap semua suspek terbabit dibuat selepas polis menerima satu laporan berhubung kejadian daripada bapa mangsa berusia 29 tahun di IPD Kuala Terengganu pada Rabu lalu.

"Berdasarkan laporan, bapa mangsa yang bekerja sebagai pegawai perubatan mendapati, berlaku pendarahan dalam otak selain keretakan pada tempurung kepala bayi terbabit.

"Susulan itu, tiga suspek terbabit ketika dipanggil memberi keterangan menafikan kejadian itu tetapi keterangan mereka meragukan.

"Bagaimanapun, siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taska berkenaan mendapati suspek memukul kepala mangsa dengan tangan.

"Kesan daripada perbuatan itu, mangsa mengalami pendarahan dalam otak dan berlaku keretakan pada tempurung kepala.

"Kecederaan dialami mangsa serius dan masih dalam keadaan koma dan dirawat di unit rawatan rapi kanak-kanak (PICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)," katanya pada Perhimpunan Bulanan PDRM Terengganu Januari 2023 di Pekarangan IPK Terengganu, hari ini.

Semua suspek terbabit ditahan reman selama enam hari bermula hari ini dan akan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Tiga suspek kes dera bayi lelaki berusia empat bulan direman selama enam hari di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. - Foto Zaid Salim
Tiga suspek kes dera bayi lelaki berusia empat bulan direman selama enam hari di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. - Foto Zaid Salim
Berita Harian X