Sabtu, 7 Januari 2023 | 10:38am
Lokasi sebuah kereta terjunam ke dalam sungai di jeti feri Tanjung Kunyit, Sibu, hari ini. - Foto ihsan JBPM
Lokasi sebuah kereta terjunam ke dalam sungai di jeti feri Tanjung Kunyit, Sibu, hari ini. - Foto ihsan JBPM

2 hilang kereta terjunam ke sungai

KUCHING: Dua lelaki dilaporkan hilang, manakala seorang lagi terselamat selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai di jeti feri Tanjung Kunyit, Sungai Maaw di Sibu, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.11 pagi tadi.

Susulan itu, katanya, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral dikejarkan ke lokasi.

"Berdasarkan maklumat diterima, terdapat tiga lelaki berada di dalam kereta jenis Toyota Camry itu ketika kejadian.

"Salah seorang mangsa terbabit, Brayant Magnus Ting Shang, 38, berjaya keluar dengan selamat sebelum dihantar ke Hospital Sibu oleh orang awam," katanya.

Beliau berkata, dua lagi mangsa dilaporkan masih hilang ialah Philip Yiin Chung Leong, 61, dan seorang lagi yang belum dikenal pasti identitinya.

"Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) mereka sedang dijalankan," katanya.

Berita Harian X