SHAH ALAM: Kebakaran gedung tekstil terkemuka, Jakel Shah Alam di Seksyen 7, di sini mencetuskan kebimbangan pemilik kedai berhampiran yang bimbang dengan risiko api merebak ke premis mereka.
Berikutan itu, ada peniaga bertindak mengeluarkan produk jualan dari kedai masing-masing ketika pasukan bomba bertungkus lumus mengawal api dan memadamkan sepenuhnya kebakaran dilaporkan pada jam 7.08 pagi tadi.
Ketika ini, usaha memadamkan kebakaran Wisma Jakel Shah Alam masih giat dilakukan selepas hampir empat jam gedung tekstil terkemuka itu dilaporkan terbakar.
Selepas tiga jam, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilaporkan masih bertungkus lumus untuk memadamkan kebakaran gedung tekstil terkemuka, Jakel cawangan Shah Alam. pic.twitter.com/UU53hWmDRC
— Berita Harian (@bharianmy) January 1, 2023
Tinjauan di lokasi mendapati api masih lagi marak dan dikhuatiri merebak ke kedai bersebelahan selepas memusnahkan bahagian dalam gedung tekstil di bangunan tiga tingkat berkenaan.
Kebakaran yang mencetuskan kepulan asap tebal itu juga menarik perhatian orang awam yang semakin ramai berkumpul berhampiran lokasi.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden berkenaan pada jam 7.08 pagi.
Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota serta aset dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam; BBP Kota Anggerik; BBP Subang; BBP Kota Raja; BBP Damansara; BBP Sungai Pinang dan BBP Puchong digegaskan ke lokasi.