Ahad, 1 Januari 2023 | 12:31am

Lelaki ditahan kes kematian penganggur lari daripada pengawasan polis

IPOH: Insiden seorang lelaki ditemui mati dengan beberapa kesan kecederaan di hadapan rumahnya di Taman Klebang Putra, Chemor, di sini, malam kelmarin selepas melarikan diri daripada perintah pengawasan polis, diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata ia berdasarkan hasil bedah siasat terhadap mayat mangsa, semalam, yang mendapati punca kematian penganggur berusia 37 tahun itu ialah kecederaan disebabkan objek tumpul.

"Justeru, ia diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Susulan itu, beliau berkata, polis menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 27 tahun di Chemor yang akan dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, untuk permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut.

"Dengan tertangkapnya suspek, kes itu berjaya diselesaikan dalam masa 17 jam selepas laporan polis diterima.

"Pihak penyiasat akan melengkapkan siasatan kes itu dan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, polis masih giat mengesan individu disyaki rakan jenayah suspek yang masih bebas.

Berita Harian X