Ahad, 1 Januari 2023 | 12:08am

Lelaki disyaki bunuh isteri fasal wang simpanan RM6,000

SERDANG: Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia disyaki suspek utama dalam kes pembunuhan isterinya di Taman Damai Utama, Bandar Kinrara, 16 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan, berkata suspek berusia 27 tahun diberkas di sebuah kediaman di Batu Gajah, Perak, kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

"Suspek adalah suami kepada mangsa. Mereka berkahwin kira-kira enam tahun lalu dan mempunyai empat anak berusia satu hingga lima tahun.

"Hasil soal siasat, suspek mengaku memukul mangsa menggunakan sepana dalam kejadian 16 Disember lalu, sebelum melarikan diri meninggalkan anak mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pergaduhan pasangan terbabit dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa dikatakan mengambil wang simpanan berjumlah RM6,000 dan menghantarnya ke kampung tanpa pengetahuan suspek.

"Suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X