Sabtu, 31 Disember 2022 | 12:17pm
Ular tedung selar seberat kira-kira 7kg, panjang 5 meter yang ditangkap anggota APM. - Foto ihsan APM
Ular tedung selar seberat kira-kira 7kg, panjang 5 meter yang ditangkap anggota APM. - Foto ihsan APM

Tedung selar bawah sofa

KUALA PILAH: Seorang lelaki terkejut melihat seekor ular tedung selar seberat kira-kira 7 kilogram (kg) sepanjang lima meter di bawah sofa di rumahnya di Kuarters JPS, Ulu Bendul, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, pemilik rumah yang sedang berehat di ruang tamu bernasib baik kerana lebih awal menyedari pergerakan reptilia terbabit atau lebih dikenali sebagai 'King Cobra' berkenaan.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Pilah, Leftenan (PA) Mohamad Ghazali Abd Rahim, berkata pihaknya menerima panggilan operasi khas haiwan berbisa jam 12.20 tengah hari.

"Seramai empat anggota APM dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kuala Pilah ke lokasi di Kuarters JKR, Ulu Bendul bagi kes menangkap ular. Setiba anggota di lokasi, pengadu memaklumkan terdapat seekor ular di bawah sofa rumahnya.

"Lelaki berusia 40 tahun itu menyedari kehadiran ular itu ketika sedang menonton televisyen apabila ternampak ekornya di bawah sofa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anggota APM dipanggil untuk menangkap ular yang berada di bawah sofa sebuah rumah di Kuarters JPS di Ulu Bendul, Kuala Pilah. - Foto ihsan APM
Anggota APM dipanggil untuk menangkap ular yang berada di bawah sofa sebuah rumah di Kuarters JPS di Ulu Bendul, Kuala Pilah. - Foto ihsan APM

Mohamad Ghazali berkata, anggota segera memulakan operasi menggunakan penjerut dan berjaya menangkap ular tedung selar atau lebih dikenali sebagai King Cobra dengan anggaran berat 7kg dan sepanjang kira-kira 5 meter.

Katanya, reptilia yang mempunyai bisa tahap tinggi itu dibawa ke PKOD Kuala Pilah sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.

Anggota APM menyerahkan ular tedung selar yang ditangkap kepada PERHILITAN. - Foto ihsan APM
Anggota APM menyerahkan ular tedung selar yang ditangkap kepada PERHILITAN. - Foto ihsan APM

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan ancaman bahaya atau bencana dan diminta segera menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Berita Harian X