Jumaat, 23 Disember 2022 | 3:32pm
Lelaki bertelekung (kiri) yang mendalangi kecurian barang berharga milik jemaah wanita di masjid sekitar Seksyen 18 Shah Alam sudah ditahan polis tengah malam tadi. Gamar tangkap layar video tular.
Lelaki bertelekung (kiri) yang mendalangi kecurian barang berharga milik jemaah wanita di masjid sekitar Seksyen 18 Shah Alam sudah ditahan polis tengah malam tadi. Gamar tangkap layar video tular.

Lelaki bertelekung mencuri di ruang jemaah wanita, dicekup polis

SHAH ALAM: Lelaki yang tular mengenakan telekung ketika menceroboh ruang solat dan mencuri barang milik jemaah wanita di masjid sekitar Seksyen 18 di sini, ditahan polis tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata tangkapan suspek lelaki tempatan berumur 20-an itu dibuat susulan laporan diterima daripada mangsa.

Beliau berkata, pada kejadian Selasa lalu, polis menerima dua laporan mengenai kecurian barangan milik jemaah wanita ketika menunaikan solat di masjid sekitar Seksyen 18, pada 20 Disember lalu.

"Kejadian pertama dilaporkan pada jam 3.41 petang oleh pengadu wanita berumur 60 tahun yang menunaikan solat subuh di Masjid Al-Azahariah, Seksyen 18, Shah Alam.

"Selesai menunaikan solat, pengadu mendapati beg miliknya yang mengandungi kunci rumah, kunci stor masjid dan sebuah telefon bimbit jenama Apple iPhone X hilang dengan anggaran kerugian sebanyak RM2,000.

"Sementara, kes kedua dilaporkan pada jam 10.47 malam oleh pengadu wanita berumur 58 tahun yang menunaikan solat isyak di Masjid Al-Hidayah, Seksyen 18.

"Selesai menunaikan solat, pengadu mendapati beg tangan miliknya yang mengandungi sebuah telefon bimbit jenama Samsung model Z Flip 3 hilang dengan anggaran kerugian RM1,500," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedua-dua tempat kejadian mendapati suspek adalah individu sama.

"Suspek berpakaian baju hitam/hijau dan berseluar jeans, menggunakan modus operandi sama iaitu memakai telekung warna putih untuk masuk ke ruang jemaah wanita, seterusnya mengambil barang berharga ketika jemaah sedang solat.

"Kira-kira jam 12.05 tengah malam (23 Disember) polis berjaya menangkap suspek yang berasal dari Padang Jawa di kawasan Seksyen 18.

"Hasil pemeriksaan terhadap suspek, polis menemui dan merampas dua buah telefon bimbit yang dicuri ketika kejadian. Suspek ditangkap untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, semakan ke atas rekod jenayah lampau mendapati orang kena tuduh (OKT) mempunyai satu rekod kes penyalahgunaan dadah dan empat rekod kes jenayah.

"OKT ditahan reman selama empat hari dari bermula hari ini sehingga 26 Disember untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 43 saat di media sosial yang memaparkan rakaman CCTV seorang lelaki memasuki ruang solat wanita di sebuah masjid bagi tujuan mencuri barangan milik jemaah yang sedang menunaikan solat.

Berita Harian X