Ahad, 18 Disember 2022 | 1:06pm
Mayat mangsa ditemui terapung pada jarak 50 meter dari persisiran pantai Kampung Tempurong, Kuala Penyu. - Foto NSTP/Ihsan Bomba
Mayat mangsa ditemui terapung pada jarak 50 meter dari persisiran pantai Kampung Tempurong, Kuala Penyu. - Foto NSTP/Ihsan Bomba

Remaja lelaki ditemui lemas

KUALA PENYU: Remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang ketika mandi di pesisir pantai Kampung Tempurong, di sini, semalam ditemui lemas pagi tadi.

Mangsa, Ikhwan Haikal Kamis, 17, ditemukan oleh penduduk kampung pada jam 6.15 pagi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata mayat mangsa ditemukan pada jarak 50 meter dari persisiran pantai berkenaan.

"Mangsa ditemukan oleh penduduk kampung pada jarak 50 meter dari persisiran pantai dan 400 meter dari lokasi Pusat Kawalan Bomba (PKB), dalam keadaan terapung.

"Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada 8.05 pagi.

Semalam, mangsa dikatakan pergi ke lokasi di pesisir pantai Kampung Tempurong, untuk aktiviti riadah mandi manda bersama dua lagi rakannnya.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka dilaporkan hilang sebelum dua rakannya yang berusia 15 dan 17 tahun ditemui selamat.

Berita Harian X