KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak rayuan seorang lelaki terhadap sabitan terhadapnya yang melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya berusia 14 tahun.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani membuat keputusan mengekalkan hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan, selain mengarahkan tertuduh yang berusia 42 tahun berada dalam pengawasan polis selama satu tahun.
Sebelum ini, tertuduh didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Hakim Mahkamah Sesyen, Nooriah Osman pada 26 Januari lalu menjatuhkan hukuman berkenaan, namun tertuduh membuat rayuan.
Bagaimanapun, Hassan menolak rayuan itu dengan mengekalkan hukuman terhadap tertuduh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa yang ketika kejadian berumur 14 tahun di sebuah rumah di daerah ini, jam 3 petang pada 6 Jun 2019.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin.