Rabu, 14 Disember 2022 | 9:02am

17 GRO warga asing ditahan di Melaka

MELAKA: Jabatan Imigresen Melaka menahan seramai 17 wanita warga asing yang disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ketika sedang leka berhibur dan melayan pelanggan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini, Isnin lepas.

Pengarah Jabatan Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini, berkata mereka antara 23 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan anggota dan pegawai Bahagian Penguat Kuasa JIM Melaka menerusi beberapa serbuan dilakukan bermula jam 11 pagi kelmarin hingga 1 pagi semalam.

Beliau berkata, serbuan dilakukan hasil aduan awam dan penduduk setempat mengenai Pati membabitkan pelbagai negara.

Katanya, lokasi serbuan turut membabitkan medan selera, bengkel kereta dan kafe hiburan yang disyaki menggaji warga asing.

"Seramai 17 wanita yang ditahan di pusat refleksologi dan pusat hiburan terdiri daripada warga Vietnam, Thailand, Laos dan China berusia antara 20 hingga 30 tahun. Selain itu seorang lelaki tempatan turut ditahan dalam serbuan sama.

"Hasil risikan dijalankan mereka disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan yang kemungkinan diuruskan oleh ejen yang bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

"Mereka dikatakan bergiat aktif pada hujung minggu berdasarkan permintaan tinggi pelanggan mengikut lokasi berbeza," katanya.

Anirwan Fauze berkata, keseluruhannya seramai 23 warga asing ditahan terdiri daripada 21 wanita dan dua lelaki sebelum dibawa ke pejabat JIM untuk siasatan lanjut.

"Daripada jumlah itu 12 orang adalah warga Vietnam, Thailand (empat), Myanmar (dua), Indonesia (tiga) dan masing-masing seorang warga Laos dan China," katanya.

Beliau berkata, antara kesalahan adalah seperti tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, melanggar syarat pas atau permit dan lain-lain kesalahan mengikut akta dan peraturan migresen.

"Pemeriksaan lanjut mendapati premis kafe hiburan terbabit baru dibuka dan beroperasi tanpa lesen.

"Premis beroperasi dalam keadaan mencurigakan apabila pintu utama ditutup rapat dan ada laluan khas yang dikawal oleh penjaga di luar premis berkenaan.

"Kita turut mengeluarkan 11 saman kepada saksi untuk hadir memberi dan membantu siasatan selain mengesan pemilik kafe hiburan terbabit," katanya.

Berita Harian X