Sabtu, 3 Disember 2022 | 11:42am
Wanita berstatus isteri orang ditahan bersama teman lelaki di sebuah hotel di Ujong Pasir dalam op cegah maksiat oleh JAIM tengah malam tadi.
Wanita berstatus isteri orang ditahan bersama teman lelaki di sebuah hotel di Ujong Pasir dalam op cegah maksiat oleh JAIM tengah malam tadi.

'Isteri orang mengaku sudah cerai ketika ditangkap khalwat'

MELAKA: Tergamak mengaku sudah bercerai sejak empat tahun lalu, sedangkan dirinya masih berstatus isteri orang.

Itu alasan mengejut diberikan seorang wanita, ketika dicekup sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kerana disyaki berkhalwat dengan suami orang di sebuah hotel di Ujong Pasir dekat sini, tengah malam tadi.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat, berkata helah wanita berusia 37 tahun itu terbongkar selepas pemeriksaan nombor kad pengenalannya secara dalam talian menunjukkan dia belum bercerai.

Menurutnya, dalam serbuan jam 12.40 tengah malam itu, wanita terbabit mendakwa sudah bercerai empat tahun lalu manakala pasangannya berusia 40 tahun mengaku sudah berkahwin namun dalam proses perceraian.

"Dia pada mulanya mendakwa teman lelakinya itu hanya datang melawatnya di situ. Malah, lelaki itu cuba keluar dari bilik hotel apabila menyedari kehadiran penguat kuasa JAIM.

"Namun, kecekapan penguat kuasa meminta dia pulang ke biliknya sebelum mendapati seorang wanita berada di dalam dan apabila ditanya kedua-dua mereka gagal mengemukakan dokumen pernikahan yang sah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengetuai operasi yang turut disertai Ketua Pegawai Penguat kuasa Agama Negeri, Akmal Nadzim Abdullah, berakhir jam 3 pagi tadi.

Che Sukri berkata, mereka antara enam pasangan kekasih berusia antara 20 hingga 40 tahun yang ditahan dalam operasi cegah maksiat di sebuah hotel di Ujong Pasir di sini.

Menurutnya, turut ditahan dalam operasi sama adalah seorang graduan universiti tempatan berasal dari Mantin, Negeri Sembilan bersama pasangannya wanita berusia 26 tahun.

Katanya, lelaki berusia 22 tahun itu memberi alasan mahu berehat di hotel bersama rakan wanitanya selepas mengambil jubah konvokesyennya yang dijadualkan berlangsung Selasa ini.

"Ketika pintu bilik diketuk pada jam 1 pagi, wanita berasal dari Gombak, Selangor itu pada mulanya mendakwa menginap di hotel itu bersama rakan wanitanya.

"Namun pemeriksaan lanjut menemui seorang lelaki bersembunyi di bawah selimut dengan hanya memakai seluar pendek.

"Apabila disoal, lelaki itu mengaku menginap di situ untuk menyelesaikan beberapa perkara selepas mengambil jubah konvokesyennya, dan kedua-dua mereka juga gagal mengemukakan dokumen pernikahan yang sah," katanya.

Semua enam pasangan yang ditahan dibawa ke pejabat JAIM untuk siasatan mengikut Seksyen 53 (1) dan (2) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau 24 bulan penjara atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan.

Berita Harian X