Rabu, 30 November 2022 | 5:40pm
Seorang mekanik berusia 38 tahun (gambar kecil) maut selepas van jenazah dipandu terbabas ke dalam gaung sedalam kira-kira tujuh meter di kilometer 16, Jalan Jemaluang-Mersing Johor. Foto tular
Seorang mekanik berusia 38 tahun (gambar kecil) maut selepas van jenazah dipandu terbabas ke dalam gaung sedalam kira-kira tujuh meter di kilometer 16, Jalan Jemaluang-Mersing Johor. Foto tular

Mekanik maut van dipandu terjunam ke gaung

MERSING: Seorang mekanik berusia 38 tahun maut selepas van jenazah dipandu terbabas ke gaung sedalam kira-kira tujuh meter di Kilometer (KM) 16 Jalan Jemaluang-Mersing, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edrward Nuing, berkata mangsa, Wan Mohd Nasyaruddin Wan Isma'on, berseorangan ketika kejadian dipercayai dari arah Johor Bahru ke Mersing.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pakar Perubatan Hospital Mersing.

"Bahagian Siasatan dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 9.15 pagi menyatakan terdapat kes kemalangan maut membabitkan sebuah van yang terbabas sendiri ke dalam gaung.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila van dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas melanggar besi pembahagi di bahu jalan.

"Akibat kejadian itu, van dipandu termasuk ke dalam gaung di hadapan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Mersing," katanya ketika dihubungi.

Cyril berkata, mayat pemandu van kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Mersing untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kematian," katanya.

Dalam pada itu, adik bongsu Allahyarham, Wan Mohd Nazrul, 29, menafikan khabar angin arwah abangnya yang juga anak kedua daripada empat beradik itu baru selesai menguruskan jenazah orang lain sebelum kemalangan.

Bagaimanapun, beliau mengakui abangnya itu sering menjadi kelindan van jenazah secara sambilan.

Katanya, dia juga tidak mengetahui abangnya itu dari mana dan mahu membuat apa sebelum kejadian.

"Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah abang petang semalam ketika minum petang bersama rakan kami.

"Tiada sebarang perubahan sikap dan arwah bersikap normal. Jika arwah ingin menguruskan jenazah sudah pasti saya dimaklumkan dahulu, malah tiada keranda pengusung jenazah di dalam van yang dipandunya," katanya.

Katanya, Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga anak lelaki berusia dua hingga 10 tahun.

"Insyaallah arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Dato Ajib Endau selepas Maghrib hari ini," katanya.

Berita Harian X