KUCHING: Seorang peniaga kerugian lebih RM100,000 selepas diperdaya sindiket penipuan yang mengarahkannya mengisi pautan di laman sosial, menyebabkan akaun bank miliknya digodam menggunakan fail 'kit pakej android' (APK).
Ketua Polis Daerah Siburan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata lelaki berusia 30-an itu diperdaya menerusi hantaran di aplikasi sembang 'WhatsApps', sebelum diminta mengisi butiran peribadi dan akaun bank ke dalam pautan di laman sosial.
"Selepas membuat semakan penyata akaun, mangsa mendapati wang di dalam akaun miliknya dipindahkan ke dalam akaun pihak ketiga dengan kerugian yang dialami melebihi RM100,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, berdasarkan kes terdahulu, sindiket penipuan menggunakan modus operandi menggodam akaun bank mangsa menggunakan APK selepas memperdaya mereka melalui iklan penjualan barang serta perkhidmatan membersihkan rumah, selain menawarkan perkhidmatan saluran televisyen berbayar.
"Terkini mereka menggunakan tawaran peluang untuk melihat kandungan 'WhatsApp' milik orang lain. Mangsa diarah memuat turun aplikasi yang diberikan dan seterusnya menekan dan mengisi butir peribadi serta butiran bank akaun di dalam pautan itu.
"Mangsa yang berminat, seterusnya memuat turun fail APK yang dihantar menggunakan aplikasi 'WhatsApp' sebelum akaun mereka digodam," katanya memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.