KAJANG: Bapa tiri kepada kanak-kanak perempuan yang maut akibat didera di rumah mereka di Taman Sri Ramal, di sini, Selasa lalu, direman selama lima hari.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata tempoh reman suspek berusia 53 tahun itu bermula hari ini hingga Isnin ini.
Media sebelum ini melaporkan, mangsa berusia 11 tahun dikatakan mengalami kecederaan di kepala akibat dihentak objek tumpul, selain ususnya pecah.
Mohd Zaid dipetik berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Serdang selepas tidak sedarkan diri pada jam 11.33 malam Selasa lalu.
Katanya, mangsa yang menaiki ambulans disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Hasil pemeriksaan bedah siasat dijalankan doktor pakar, kelmarin, mendapati punca kematian mangsa dipercayai akibat kesan hentakan benda tumpul pada bahagian kepala dan perut yang menyebabkan usus pecah.
Malah, terdapat juga kesan cedera lebam di bahagian punggung, buah dada dan lengan tangan mangsa.
Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek mengaku ada memukul mangsa sebelum ini termasuk menggunakan baldi di dalam tandas akibat marah dengan mangsa yang sering membuat masalah di rumah ketika ketiadaan isterinya di rumah.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.
⁃