Ahad, 20 November 2022 | 4:18pm
 Sebanyak 1,900 karton rokok dipercayai diseludup dirampas Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia awal pagi tadi. Foto ihsan TDM
Sebanyak 1,900 karton rokok dipercayai diseludup dirampas Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia awal pagi tadi. Foto ihsan TDM

1,900 karton rokok seludup bernilai RM114,000 dirampas

KOTA TINGGI: Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div), Tentera Darat Malaysia (TDM) di Tanjung Logok, Tenggaroh, merampas 1,900 karton rokok yang dipercayai diseludup, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, rokok jenama Saat (Gold) yang dirampas dianggarkan bernilai RM114,000 dan dikatakan tidak sempat diambil orang pengantaraan peruncit untuk diedarkan kepada pelanggan mereka.

Dalam kenyataan medianya, markas itu berkata, rampasan dibuat dalam Op benteng yang dilaksanakan di kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).

Katanya, pasukan ronda bergegas melaksanakan rondaan di kawasan terbabit selepas mendapat maklumat perisikan ada pergerakan mencurigakan di situ.

"Ketika rondaan, pasukan mengesan satu longgokan kotak berada di pesisir pantai.

"Kita percaya kotak itu baru saja dinaikkan dari perairan dan menunggu untuk diambil oleh orang perantaraan peruncit," katanya.

Katanya, semua 38 kotak berisi 1,900 karton rokok itu dibawa ke Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk pemeriksaan lanjut.

Laporan polis dibuat di Balai Polis Tanjung Sedili pada jam 5 pagi, manakala barang rampasan akan diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan selanjutnya.

"Pasukan akan meneruskan atur gerak Tim QRF dan Tim Dron Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta bantuan dari pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan ada saki baki pendatang asing tanpa izin (PATI) atau aktiviti penyeludupan di sekitar kawasan tangkapan.

"TDM menerusi markas ini juga terus komited memperkasakan kawalan keselamatan daratan wilayah selatan Semenanjung Malaysia melalui pemantauan serta penguatkuasaan berterusan bagi memastikan jenayah rentas sempadan dapat dikekang demi kedaulatan negara," katanya.

Berita Harian X