Jumaat, 18 November 2022 | 7:23pm

Mahu cepat kaya, lelaki rugi RM807,623

KUCHING: Seorang lelaki kerugian RM807, 623 selepas menjadi mangsa penipuan nombor ramalan dalam internet.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, berkata mangsa membuat laporan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menyatakan pada 30 September lalu dia melihat iklan nombor ramalan semasa melayari laman internet.

"Mangsa kemudian berkenalan dengan seorang lelaki bernama Dr Benjamin yang mana lelaki terbabit memberi nombor ramalan dan meminta mangsa bermain nombor itu dalam sebuah laman sosial.

"Mangsa kemudian dikatakan telah memenangi wang sebanyak USD$360 juta dari nombor yang telah dibeli," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, syarikat berkenaan kemudian meminta mangsa menghubungi support poolmond.com untuk menuntut hadiah yang dimenangi.

"Mangsa diarahkan oleh ejen dari poolmond.com untuk membuka akaun di Corniche Bank yang beralamat di United Kingdom bagi memindahkan wang kemenangan mangsa dalam akaun itu.

"Mangsa diarahkan untuk membuat bayaran pemprosesan dan telah membuat sebanyak 22 transaksi ke akaun bank komersil tempatan berjumlah RM392,300," katanya.

Katanya, mangsa juga membuat 18 transaksi lagi menggunakan perkhidmatan kiriman wang keluar negara untuk dipindahkan ke bank luar negara berjumlah RM415,323.

"Jumlah kerugian mangsa adalah sebanyak RM807,623. Mangsa menyedari ditipu selepas tiada wang kemenangan dimasukkan ke dalam akaun Corniche Bank yang dibukanya sebelum ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Ahsmon menasihatkan orang ramai supaya peka dan waspada sebelum membuat pindahan ke akaun pihak ketiga.

Berita Harian X