KUALA TERENGGANU: Seorang pemandu lori dihukum penjara 19 tahun dan 20 sebatan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan merogol anak tirinya.
Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas tertuduh yang berusia 30 tahun mengaku salah terhadap dua pertuduhan berkenaan.
Mengikut tuduhan pertama, lelaki itu didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 11 tahun di dalam tandas di sebuah rumah di Marang, jam 3 pagi pada Oktober 2021.
Tertuduh sekali lagi mengulangi kesalahan sama terhadap mangsa di alamat sama jam 3 pagi pada Oktober lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen376 (3) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan disebat tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan,mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan.
Mahkamah turut mengarahkan hukuman penjara berjalan secara berasingan bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitupada 12 November lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.