Selasa, 15 November 2022 | 10:03pm
Keadaan mangsa yang digilis lori di sebuah pusat timbang kelapa sawit di Lendu. - NSTP/Ihsan PDRM
Keadaan mangsa yang digilis lori di sebuah pusat timbang kelapa sawit di Lendu. - NSTP/Ihsan PDRM

Buruh maut digilis lori

ALOR GAJAH: Seorang buruh warga Indonesia maut selepas digilis sebuah lori di Pusat Timbang D&G Enterprise Sdn Bhd di Jalan Ayer Hitam Lendu, dekat sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang ketika mangsa, Abd Hafis, 33, sedang menggulung kanvas di kawasan pusat timbang kelapa sawit itu.

"Siasatan awal polis mendapati kemalangan berpunca apabila pemandu lori berusia 49 tahun dipercayai tidak nampak mangsa yang sedang menggulung kain kanvas di bahagian hadapan lori dan terlanggarnya.

"Pelanggaran menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan pada kepala. Mayatnya kemudian diserahkan kepada pihak Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Arshad berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, lori Isuzu itu turut ditahan untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Berita Harian X