KULAI: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kulai, manakala satu PPS di Kluang malam tadi selepas penempatan penduduk di kawasan sekitar daerah berkenaan dinaiki air akibat banjir kilat, semalam.
Jurucakap Pengurusan Bencana Daerah Kulai berkata, seramai 189 mangsa daripada 38 keluarga ditempatkan di dua PPS berkenaan.
"PPS Dewan Serbaguna Kampung Baru Sengkang yang dibuka jam 7.30 malam menempatkan 134 mangsa daripada 37 keluarga, manakala Dewan Raya Kampung Murni Jaya yang dibuka jam 9.30 malam menempatkan 55 mangsa daripada 11 keluarga," katanya dalam kenyataan.
Setakat ini, banjir membabitkan tiga daerah iaitu Kulai, Kluang dan Segamat.
Sementara itu, di Kluang, sebuah PPS dibuka jam 11 malam tadi.
Jurucakap Pengurusan Bencana Daerah Kluang berkata, PPS di Dewan Utama Kampung Ithnin Maarof Simpang Renggam dibuka bagi menempatkan 25 mangsa daripada lima keluarga terjejas dari kampung sama.
"Paras air di Lembangan Sungai Benut (Empangan Machap) juga menunjukkan aras waspada apabila berlaku peningkatan air kepada 16.7 meter (m), berbanding paras normal iaitu 15.85m.
"Paras air di Lembangan Sungai Endau pula membabitkan sub lembangan di Sungai Paloh (pekan Paloh) dan Sungai Mengkibol bandar Kluang serta Sungai Benut (Simpang Renggam) masih di tahap normal," katanya.