DUNGUN: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kejadian merosakkan bendera sebuah parti politik di Kampung Pasir Raja, pagi ini.
Suspek berusia 31 tahun, yang juga penduduk di kampung berkenaan ditahan di rumahnya, kira-kira1.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata tangkapan itu dibuat susulan tular di media sosial mengenai tindakan seorang lelaki dilihat sengaja membakar bendera sebuah parti yang menimbulkan kemarahan ramai pihak.
"Polis menerima laporan yang memaklumkan kejadian itu dilakukan seorang lelaki dipercayai tidak siuman dan berada di bawah pengaruh dadah.
"Hasil penelitian daripada video berdurasi lebih kurang satu minit tujuh saat memaparkan suspek sedang membakar bendera terbabit dengan menggunakan pemetik api," katanya.
Baharudin berkata, siasatan polis juga mendapati suspek adalah individu sama membakar bendera Jalur Gemilang.
"Sebelum ini, kami ada menerima laporan membabitkan kes membakar Jalur Gemilang dan kita dapati suspek sama melakukan perkara itu.
"Suspek akan dibawa ke Mahkamah untuk mendapat perintah tahanan reman dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya.