Khamis, 10 November 2022 | 9:44pm
- Hiasan
- Hiasan

5 lelaki ditahan di Kulai, disyaki terbabit kes pecah rumah

KULAI: Polis menahan lima lelaki tempatan dipercayai terbabit kes pecah rumah dalam empat serbuan berasingan di sekitar daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, individu ditahan berusia 23 hingga 38 tahun, termasuk seorang mempunyai 16 rekod jenayah lampau.

Katanya, kesemua suspek ditahan Pasukan Op Lejang Balai Polis Kulai di antara jam 12 tengah hari sehingga 5 petang.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek terbabit dalam beberapa kes pecah rumah di sekitar Kulai dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi pembuktian kes. Polis juga menyiasat kemungkinan lima suspek ditahan ini terbabit juga dengan kes jenayah di luar daerah Kulai.

"Polis turut merampas beberapa barang kes termasuk Proton Wira, sebuah konsol permainan PlayStation 4, sebuah beg sandang, kasut berjenama dan dua kamera," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beng Yeow berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua individu ditahan positif dadah jenis methamphetamine.

"Kesemua suspek direman seminggu bermula hari ini sehingga 16 November ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Berita Harian X