SEPANG: Usahawan kosmetik Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida tiba di Kompleks Mahkamah Sepang bagi berdepan dengan dakwaan memuat naik komunikasi bersifat sumbang beberapa bulan lalu.
Wanita berusia 51 tahun itu dilihat tiba di perkarangan kompleks berkenaan pada jam 9.50 pagi.
Beliau dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang bersifat sumbang.
Ahli perniagaan Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida atau DSV, tiba di Kompleks Mahkamah Sepang bagi berdepan dengan dakwaan memuat naik komunikasi bersifat sumbang beberapa bulan lalu. pic.twitter.com/0hQ3Nk8iJD
— Berita Harian (@bharianmy) November 8, 2022
Semalam Jabatan Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), berkata ahli perniagaan itu akan didakwa mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
"Ia berikutan kesalahan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat sumbang.
"Ahli perniagaan itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah (1) Sepang, pada jam 9 pagi," katanya.
BH difahamkan, kesalahan membabitkan wanita itu adalah menerusi laman web Youtube iaitu melalui sebuah lagu yang viral di media sosial, sekitar beberapa bulan lalu.
Sebelum ini, usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang, atas empat pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video bersifat sumbang pada April lalu.
Aliff Syukri yang juga orang kena saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil, dan meminta dibicarakan.
Dalam prosiding hari ini, Vida mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, terhadap satu pertuduhan memuat naik komunikasi bersifat sumbang pada Mei lalu membabitkan video muzik Muah Muah Raya.
Diamembuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Vida, 51, didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang bersifat sumbang dengan niat menyakitkan hati orang lain, pada 29 April lalu melalui akaun YouTube DSV Entertainment.
Video berkenaan kemudian dilihat di di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Cyberjaya pada 5 Mei lalu.
Jika sabit kesalahan, Vida selaku Orang Kena Saman (OKS) boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Timbalan Pendakwa Raya SKMM Fazril Sani Mohamed Fadzil, mencadangkan jaminan RM10,000.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili Vida, Datuk Adnan Seman memohon jaminan diturunkan kepada RM2,000 dengan alasan ia kesalahan pertama OKS.
Ahmad Fuad kemudian mengarahkan Vida membayar jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Beliau kemudian menetapkan 7 Disember ini sebagai tarikh sebutan untuk serahan dokumen.