KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan wanita terkenal akan didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah Sepang, Selangor esok, atas kesalahan melakukan penghantaran komunikasi sumbang.
Jabatan Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), berkata ahli perniagaan berusia 50-an itu akan didakwa mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
"Ia berikutan kesalahan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat sumbang.
"Ahli perniagaan itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah (1) Sepang, pada jam 9 pagi," katanya.
BH difahamkan, kesalahan membabitkan wanita itu adalah menerusi laman web Youtube iaitu melalui sebuah lagu yang viral di media sosial, sekitar beberapa bulan lalu.
Sebelum ini, usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang, atas empat pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video bersifat sumbang pada April lalu.
Aliff Syukri yang juga orang kena saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil, dan meminta dibicarakan.