ALOR GAJAH: Seorang wanita warga Singapura maut selepas kereta dinaiki bersama rakan senegara terbabas di Kilometer 208 Lebuh Raya Utara Selatan (arah utara) malam tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa, Huang Kaiting, 25, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.
Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama dua rakan bekerja sebagai jurujual, Muhammad Hilmi Abdul Rahim, 28, dan Fong Zeng Yip Kenneth, 27, menaiki kereta Kia Cerato dari Johor menghala ke Kuala Lumpur.
"Setibanya di lokasi kejadian, kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar besi penghadang di sebelah kiri jalan.
"Terdapat kesan geseran dan serpihan komponen kenderaan ditemui di lokasi kejadian. Pelanggaran menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.
"Muhammad Hilmi yang memandu kereta itu cedera di kaki, manakala Fong tidak cedera," katanya dalam kenyataan di sini.
Arshad berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku di jalan tiga lorong yang lurus dan permukaan jalan basah.
"Dua rakan mangsa diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut. Kenderaan terbabit juga ditahan untuk dibawa pemeriksaan ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.