Isnin, 31 Oktober 2022 | 6:46pm
Puting beliung merosakkan lebih 20 rumah di Kampung Undang.NSTP/ZAID SALIM
Puting beliung merosakkan lebih 20 rumah di Kampung Undang.NSTP/ZAID SALIM

Lebih 20 rumah rosak dibadai puting beliung

KUALA TERENGGANU: Lebih 20 rumah di Kampung Undang, di sini, rosak selepas dibadai puting beliung dalam kejadian jam 2.30 petang tadi.

Kejadian kali kedua berlaku di kampung itu mengejutkan penduduk apabila banyak atap rumah tercabut, selain beberapa pokok tumbang.

Penduduk, Alias Mat Min, 72, berkata kejadian ribut kali ini tidak sama seperti yang berlaku pada tahun lalu kerana banyak rumah penduduk yang rosak.

"Tahun lalu ribut biasa saja, tetapi kali ini puting beliung dan bersyukur kerana laluan angin tidak mengenai rumah saya.

"Saya jangka lebih 20 rumah rosak dengan 14 daripadanya mengalami kerosakan teruk," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Jamsari Mohamad, 43, berkata ketika kejadian dia bersama ibunya, Minah Mat Ali, 69, berada di rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi deruman angin yang sangat kuat.

Katanya, tidak lama selepas itu kediamannya bergegar sebelum keluar rumah untuk melihat keadaan.

"Kejadian berlaku ketika saya dan emak berehat selepas menunaikan solat Zohor. Emak menyuruh saya melihat keadaan di luar selepas terdengar bunyi bising.

"Saya terkejut melihat bahagian luar rumah cerah sebelum mendapati semua atap bahagian luar rumah sudah diterbangkan angin.

"Selepas itu saya ke bahagian belakang rumah dan panik melihat kepingan atap berterbangan sebelum mengajak emak keluar rumah untuk menyelamatkan diri," katanya.

Katanya, kejadian itu menyebabkan dia mengalami kerugian kira-kira RM30,000 apabila lebih 50 keping atap dan siling rumah rosak, selain beberapa barangan lain dalam rumah musnah terkena hujan.

"Saya kini menumpang di rumah saudara kerana bimbang siling rumah yang basah akibat hujan akan runtuh dan meminta pihak berkaitan dapat membantu membaiki dengan segera," katanya

Berita Harian X