KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes pukul yang menyebabkan seorang lelaki cedera dalam kejadian di Flat San Peng, Jalan Gadek di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata satu rakaman video berdurasi 48 saat berkaitan kejadian itu dikesan tular di media sosial pada jam 11.53 pagi tadi.
"Semakan mendapati kejadian itu kira-kira jam 10 malam, kelmarin membabitkan sekumpulan lelaki.
"Satu laporan polis berkait kejadian itu juga sudah diterima pihak polis pada jam 10.59 malam, semalam dan siasatan sedang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, pihak polis sudah mengenal pasti dua lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam insiden itu dan usaha mengesan mereka sedang dijalankan.
"Buat masa ini kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung motif dan punca kejadian.
"Kita minta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu untuk tampil membantu siasatan pihak polis," katanya.
Noor Dellhan berkata maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Menerusi kapsyen rakaman video yang tular di media sosial, mendakwa kejadian itu berpunca motosikal ditunggang seorang remaja lelaki dikatakan kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah di flat itu.
Kejadian itu menyebabkan dua lelaki dipercayai pengawal peribadi yang menaiki kenderaan mewah itu bertindak memukul remaja berkenaan sehingga kepalanya cedera.