Jumaat, 28 Oktober 2022 | 6:36pm

Mahkamah tolak semakan kehakiman peguam gagal halang PRU15

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini, menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman dibuat peguam, Syed Iskandar Syed Jaafar, bagi menghalang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, memutuskan perkara itu selepas mendapati permohonan berkenaan remeh atau tidak penting kerana pembubaran Parlimen yang membawa kepada PRU15 tidak boleh dipertikaikan.

Katanya, pembubaran itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mempunyai budi bicara mutlak mengikut Perkara 32(1), 40(2)(b) dan 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

"Pembubaran Parlimen adalah keputusan yang diamanahkan secara khusus mengikut budi bicara mutlak Yang di-Pertuan Agong.

"Agong adalah pembuat keputusan mutlak. Responden dalam permohonan itu (Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kerajaan Malaysia)tidak mempunyai sebarang kuasa untuk membuat keputusan (membubarkan Parlimen) di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Kuasa itu milik Yang di-Pertuan Agong. Oleh kerana responden yang dinamakan oleh pemohon bukan pembuat keputusan pembubaran Parlimen, maka semakan kehakiman itu adalah gagal," katanya.

Beliau berkata demikian pada prosiding menerusi aplikasi Zoom, yang turut disertai peguam bela Syed Iskandar, Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC).

Syed Iskandar, 55, yang juga pengundi di Parlimen Pandan, memfailkan permohonan semakan kehakiman itu pada 14 Oktober lalu.

Peguam itu dilaporkan mahu deklarasi terhadap permintaan Perdana Menterikepada Yang di-Pertuan Agong, pada 9 Oktober lalu, supaya Parlimen dibubarkan adalah terbatal dan tidak berkuat kuasa.

Sementara itu, Sri Ram memohon keputusan semakan kehakiman itu ditangguh sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, Shamsul membantah permohonan itu kerana boleh membawa kepada injunksi menghalang SPR menjalankan fungsinya mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah kemudian menolak permohonan itu yang disifatkan tidak sesuai.

Minggu lalu, Shamsul berhujah bahawa Syed Iskandar, tidak menjelaskan bagaimana haknya mengikut undang-undang terjejas akibat pembubaran Parlimen.

Katanya, maklumat yang diberikan oleh peguam itu hanya beliau pengundi berdaftar, mengundi pada PRU14 dan berhak untuk menyertai pilihan raya.

Sri Ram pula berkata, anak guam mencabar tindakan Ismail Sabri, yang secara tidak munasabah dan tanpa niat baik membuat permintaan kepada Yang di-Pertuan Agong, untuk membubarkan Parlimen.

Berita Harian X