Khamis, 27 Oktober 2022 | 3:56pm
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

PATI dicekup dekat terminal bas

KOTA BHARU: Jabatan Imigresen menahan 49 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi khas, Ops Gelombang di Pasir Mas dan Kota Bharu, semalam.

Mereka yang ditahan itu termasuk 32 lelaki, 16 perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan Myanmar.

Turut ditahan lapan lelaki tempatan berusia 17 hingga 37 tahun.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata operasi bermula jam 6 petang membabitkan 32 orang pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, dan dibantu oleh Jabatan Imigresen Kelantan.

Katanya, semua PATI dan lapan warga tempatan ditahan menerusi serbuan sekitar Terminal Bas Utama Kota Bharu dan Pasir Mas.

"PATI terbabit dipercayai baru tiba dari negara jiran melalui jalan tikus dan kemudian dipindahkan dengan 10 buah kenderaan ke terminal bas berkenaan.

"Berdasarkan maklumat orang awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi mendapati modus operandi sindiket ini adalah menyeludup PATI melalui laluan laut melintasi sempadan Malaysia-Thailand.

"Dalang sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 bagi setiap PATI untuk masuk ke Malaysia. PATI ini kemudian akan dibawa ke destinasi tertentu di luar Kelantan seperti Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor Bahru untuk bekerja secara tidak sah," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, warga tempatan menerima upah di antara RM150 hingga RM250 bagi setiap orang PATI yang diangkut dari sempadan ke terminal bas.

Berita Harian X