Rabu, 7 September 2022 | 11:57am
Foto hiasan
Foto hiasan

Polis kesan lelaki intai guru wanita dalam tandas

SHAH ALAM: Polis sedang mengesan seorang lelaki didakwa mengintai seorang guru wanita di tandas di Kompleks Sukan Negara, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 12.27 tengah hari pada 15 Ogos lalu dan laporan diterima pada hari yang sama.

"Polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada pengadu iaitu seorang guru wanita berusia 32 tahun, kira-kira pada jam 4.44 petang.

"Pada hari kejadian, pengadu membawa pelajar ke kompleks itu untuk latihan perbarisan sambutan Hari Kebangsaan dan ketika pengadu berada dalam tandas, didapati seorang lelaki sedang mengintai dari bilik tandas sebelah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, perbuatan suspek turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan tular menerusi media sosial yang menunjukkan dia masuk ke tandas wanita di kompleks sukan terbabit.

"Suspek disyaki seorang lelaki tempatan melarikan diri sejurus mendengar jeritan pengadu (guru) dan pengadu menceritakan dia hanya sempat melihat paras kepala hingga mata suspek sahaja," katanya.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan untuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lain-lain lokasi berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Sebarang maklumat lanjut berhubung kes ini, boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat kes Inspektor Hadi di

talian 016-2745515.

Berita Harian X