Selasa, 6 September 2022 | 1:10am
Dadah yang dirampas polis ketika mengadakan dua serbuan sekitar Sungai Dua, Butterworth pada Jumaat lalu. - Foto PDRM
Dadah yang dirampas polis ketika mengadakan dua serbuan sekitar Sungai Dua, Butterworth pada Jumaat lalu. - Foto PDRM

Polis berkas 2 lelaki, rampas dadah RM86,390

BUTTERWORTH: Polis menahan dua lelaki dan merampas sejumlah 6.34 kilogram (kg) dadah jenis heroin serta ganja dianggarkan bernilai RM86,390 dalam dua serbuan sekitar Sungai Dua, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad, berkata pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri melancarkan serbuan itu sebelum memberkas dua suspek warga tempatan berusia 25 dan 26 tahun.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui 14 bungkusan dadah jenis heroin seberat 6.3kg dan dua bungkusan ganja 47.8 gram, dengan anggaran boleh digunakan seramai 31,500 penagih.

"Hasil risikan mendapati kegiatan pengedaran dadah itu dipercayai aktif sejak Jun lalu dengan memfokus pasaran tempatan.

"Selain itu, hasil semakan turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

"Malah, hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Susulan itu, beliau berkata, kedua-dua suspek direman enam hari hingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam serbuan itu, katanya, polis juga menyita sebuah kereta, motosikal dan barang kemas, dengan keseluruhan rampasan dadah serta sitaan dianggarkan bernilai RM136,140.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan pengedaran dadah, diminta menyalurkannya melalui Hotline JSJN di talian 012-2087222.

Berita Harian X