Sabtu, 3 September 2022 | 5:29pm
Roslan (kiri) bersama rakannya melihat kereta miliknya yang dihanyutkan arus dalam kejadian kepala air di Ulu Kasar, Lata Payung, Setiu, hari ini.- Foto/Baharom Bakar
Roslan (kiri) bersama rakannya melihat kereta miliknya yang dihanyutkan arus dalam kejadian kepala air di Ulu Kasar, Lata Payung, Setiu, hari ini.- Foto/Baharom Bakar

Berat hati bawa keluarga berkelah

PERMAISURI: "Saya berasa berat hati dan diselubungi perasaan berdebar sebelum ke kawasan perkelahan," kata Roslan Zakaria, 38, mangsa yang terselamat dalam kejadian kepala air di Ulu Kasar, Lata Payung, Setiu.

Roslan dari Kampung Laut, Chendering, di sini, berkata bagaimanapun dia sekeluarga pergi juga ke kawasan perkelahan selepas anak sulung menangis untuk mengikut ahli keluarga lain berkelah.

Katanya, dia bersama 14 ahli keluarga ke lokasi itu menaiki dua kenderaan, kira-kira 3 petang dan tiba pada jam 4.30 petang.

"Selepas selesai makan, seluruh ahli keluarga termasuk isteri dan dua anak turun untuk mandi. Namun, selang setengah jam kemudian, saya terdengar laungan beberapa remaja supaya naik ke atas tebing kerana arus air semakin laju dan paras air semakin tinggi.

"Saya meminta isteri, Norsapawati Mohd Zain, 34, membawa seorang daripada dua anak naik ke atas tebing dan masuk dalam kereta yang diletakkan berhampiran sungai, " katanya ketika ditemui berhampiran kenderaannya yang dihanyutkan arus dalam kejadian kepala air, semalam.

Roslan berkata, dia kemudian sekali lagi turun ke dalam air yang ketika itu sudah naik ke paras pinggang untuk mengambil seorang lagi anak berusia 4 tahun yang sedang leka mandi.

"Ketika cuba meredah arus air yang semakin laju sambil mendukung anak, paras air semakin naik dan saya sempat bertaut pada tali yang dicampak penduduk ke tebing.

"Saya terkejut apabila mendapati isteri dan anak tiada dalam kereta yang ketika itu sedang dihanyutkan arus," katanya.

Katanya, beberapa penduduk kampung memaklumkan isteri dan anak sudah dibawa naik ke atas tebing.

"Selepas menyerahkan anak kepada isteri, saya cuba untuk mengundurkan kereta ke atas tebing, tapi gagal kerana ada beberapa lagi kenderaan di belakang.

"Saya sendiri melihat dua kereta termasuk milik saya dihanyutkan arus deras," katanya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Langkap, Datuk Sabri Mohd Noor, berkata kerajaan negeri diminta menempatkan pasukan penyelamat di kawasan berkenaan, terutama pada setiap cuti am dan umum.

Katanya, kejadian kepala air di kawasan itu adalah kali pertama berlaku dan kawasan rekreasi itu menjadi tumpuan bukan sahaja pengunjung tempatan, tetapi pengunjung daripada seluruh negara.

"Kita minta kerajaan negeri menempatkan pasukan penyelamat selain menyediakan papan tanda amaran bagi mengelakkan kemalangan jiwa berlaku ke atas pengunjung," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Berita Harian X