Jumaat, 30 September 2022 | 9:08pm

Bekas penjual sarang burung terlepas hukuman mati

PUTRAJAYA: Seorang bekas penjual sarang burung terlepas hukuman gantung sampai mati apabila Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini, mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadapnya atas dua pertuduhan mengedar dadah.

Panel tiga hakim dibarisi Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Kamaludin Md Said dan Datuk Ahmad Nasfy Yasin, bersama Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan, membenarkan rayuan Tan Chen Xing selepas mendapati ada merit dalam rayuannya.

Dalam keputusan mahkamah, Hakim Kamaludin yang mengetuai panel itu berkata, sabitan terhadap Chen Xing bagi kes mengedar dadah, tidak selamat untuk dikekalkan selepas Hakim Mahkamah Tinggi mendapati tiada penemuan komprehensif ke atas bukti.

Mahkamah turut mengetepikan sabitan terhadap Chen Xing dan hukuman penjara atas dua pertuduhan memiliki 0.06 gram (g) nimetazepam serta 299.2g racun phenazepam tanpa lesen yang sah.

Bagi pertuduhan mengedar dadah, Chen Xing didakwa mengedar 361.8g ketamin dan 156.52g methamphetamine.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kondominium di Lebuh Minden 1, Gelugor, Pulau Pinang, pada jam 4 petang 10 November 2016.

Pada 2020, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mendapati Chen Xing bersalah atas pertuduhan berkenaan dan dijatuhkan hukuman mati kerana mengedar dadah.

Dia juga dihukum penjara dua tahun bagi kesalahan memiliki nimetazepam, dan penjara satu tahun kerana memiliki phenazepam.

Peguam, Hussaini Abdul Rashid yang mewakili Chen Xing, dalam hujahnya berkata Hakim Mahkamah Tinggi gagal mempertimbangkan bahawa terdapat lima individu yang mendiami kondominium itu dan bukan anak guamnya saja yang mempunyai akses kepada premis berkenaan.

Beliau berkata, Chen Xing tinggal di bilik ketiga rumah itu dan bukan di bilik pertama di mana dadah-dadah berkenaan ditemui.

Hussaini berkata, anak guamnya dikehendaki ke penjara semula untuk menjalani hukuman 10 sebatan sebelum dia dibebaskan.

Beliau berkata, Chen Xing dihukum penjara lima tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen selepas dia mengaku bersalah memiliki dadah di dalam poketnya.

Hussaini memaklumkan, Chen Xing sudah lengkap menjalani hukuman penjara tetapi belum menjalani hukuman sebatan itu. – BERNAMA

Berita Harian X