Jumaat, 30 September 2022 | 12:49pm

Lelaki hasilkan tiga senapang angin dipelajari dari Youtube ditahan polis

IPOH: Polis merampas tiga senapang angin buatan sendiri susulan tangkapan seorang individu dalam serbuan terhadap sebuah rumah di Taman Mewah Jaya di Sitiawan Isnin lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata tangkapan dibuat dalam Op Tapis Khas Kontinjen Perak oleh sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Manjung, kira-kira jam 12.30 tengah malam.

"Hasil pemeriksaan di dalam rumah berkenaan menjumpai tiga laras senapang angin, sepucuk pistol tiruan, balang gas yang diubah suai, satu pasang gari bersama sarung gari serta dua anak kunci gari.

"Selain itu, kita turut menemui bungkusan plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis Methamphethamine anggaran berat 6.34 gram bernilai RM350," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Mohd Yusri berkata, pihak polis masih menyiasat tujuan suspek memilik senapang angin berkenaan.

"Dia mengatakannya untuk kegunaan sendiri, tetapi kita masih menjalankan siasatan lanjut. Senapang angin dibuat sendiri dan suspek mendedahkan mempelajari (membuat senapang angin) daripada YouTube dalam tempoh hanya sebulan sahaja," katanya.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing dijalankan ke atas suspek berusia 39 tahun itu adalah positif dadah selain suspek mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kesalahan dadah.

Katanya, sehubungan itu suspek direman selama tiga hari mulai Isnin lalu dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun serta tiga hingga sembilan sebatan, jika sabit kesalahan.

"Bagi kesalahan memiliki senapang angin dan senjata tiruan, kes ini disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Dalam serbuan berasingan pada jam 5.30 petang, Mohd Yusri berkata, polis turut menahan seorang lelaki berusia 22 tahun di kawasan Terminal Bas Meru Raya di sini kerana disyaki mengedar dadah.

"Hasil pemeriksaan terhadap suspek menemui sepuluh bungkus plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis Heroin anggaran berat 4.5 kilogram (kg) bernilai RM158,730.

"Ujian saringan air kencing dijalankan keatas suspek negatif, semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau bersabit kesalahan dadah," katanya.

Menurutnya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh lebih 15,000 orang penagih dan dadah berkenaan disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan.

"Suspek direman tujuh hari mulai Selasa lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dikenakan hukuman mandatori iaitu gantung sampai mati, jika sabit kesalahan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Ops Tapis selama tiga hari bermula Isnin lalu polis berjaya membuat serbuan terhadap 21 sarang penagih dadah dengan menahan seramai 408 orang yang terbabit dalam pelbagai kesalahan dadah.

"Kesemua suspek berusia antara 16 hingga 63 tahun ditahan terdiri daripada 405 orang warga tempatan dan tiga warga asing dari Myanmar, Vietnam dan Thailand.

Menurutnya, dalam jumlah keseluruhan tangkapan itu polis turut berjaya mengenalpasti sepuluh penagih dadah tegar yang akan diambil tindakan mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum lima hingga tujuh tahun penjara dan minimum tiga sebatan, jika sabit kesalahan.

"Selain itu, dalam operasi ini juga seramai tujuh individu ditangkap dibawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 serta 14 individu yang dikategorikan sebagai orang yang dikehendaki," katanya.

Katanya, keseluruhan sebanyak RM 194,091 nilai rampasan dadah membabitkan heroin 5,070.60 gram (g), Methamphetamine (136.31 g), Ganja (24.01 g), daun ketum (29,900 g), cecair ketum (117.45 liter), pil Erimin 5 (3.80 g), pil Yaba (0.60 g) dan Ketamin (0.85 g).

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, bersama pegawai kanan Polis Perak melihat pelbagai senjata api dan dadah yang dirampas dalam Op Tapis Khas di negeri itu
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, bersama pegawai kanan Polis Perak melihat pelbagai senjata api dan dadah yang dirampas dalam Op Tapis Khas di negeri itu
Berita Harian X